Tuesday, July 21, 2009

Peristiwa Masyitah, Israk Mikraj

Peristiwa di mana Mashitah sanggup berkorban demi Islam dan mempertahankan keimanannya kepada Allah Ta’ala.

Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW turut melewati satu kawasan berbau sungguh harum dengan bau-bauan kasturi. Lalu Baginda bertanya kepada Jibril kawasan apakah yang sedang mereka lalui. Jibril menjawab: “Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga.” Beliau adalah pengasuh anak Firaun, pemerintah kejam di Mesir yang mengaku dirinya Tuhan. Masyitah berfizikal lemah, mempunyai semangat kuat dan jiwa keIslaman sehingga mampu menafikan keangkuhan Firaun.

Masyitah ialah pelayan raja. Beliau adalah seorang rakyat yang masih sedar dan beriman kepada Allah tetapi disebabkan kekejaman Firaun, beliau dan ramai lagi terpaksa menyembunyikan keimanan mereka.

Pada suatu hari, ketika Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama Allah "Bismillah Hi Masyaallah dan celaka la Firaun". Apabila puteri itu mendengar perkataan “Allah”, dia bertanya kepada Masyitah, siapakah Allah itu. Masyitah pada mulanya enggan menjawab tetapi selepas didesak berkali-kali, beliau akhirnya memberitahu bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Tuhan Sekalian Alam.

Puteri itu mengadu kepada Firaun mengenai perkara itu menyebabkan Firaun terlalu marah apabila mengetahui Masyitah menyembah tuhan selainnya. Masyitah dipaksa Firaun memperakui dirinya (Firaun) sebagai Tuhan, tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: “Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah Allah.”

Perkataan itu menimbulkan kemarahan Firaun, lalu memerintahkan dibuat patung lembu daripada tembaga untuk diisi minyak bagi merebus Masyitah. Menteri Firaun, iaitu Hamman, salah seorang penghuni neraka, diperintahkan Firaun untuk membunuh Masyita. Firaun memerintahkan patung lembu itu diletakkan di atas api sehingga panas menggelegak dan mengarahkan Masyitah dan ahli keluarganya dilontar seorang demi seorang.

Pada waktu giliran bayinya hendak dimasukkan ke dalam lembu itu untuk direbus, Masyitah hampir mengaku kalah dan menyerah kepada kemahuan Firaun kerana terlalu sayangkan anaknya. Tetapi dengan kehendak Allah, berlaku kejadian luar biasa apabila bayi itu dengan fasih berkata: “Wahai ibuku! Teruskanlah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas (jalan) kebenaran.” Masyitah dan keluarganya mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah Tuhan Yang Esa dan Firaun hanya manusia biasa. Lalu semuanya syahid dibunuh Firaun.

Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia melalui peristiwa Israk Mikraj. Semua ahli keluarga Masyitah mendapat balasan syuhada daripada Allah kerana mempertahankan akidah sehingga mati.

No comments: